Wednesday, November 12, 2025
22.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

GRS catat pelbagai perubahan pentadbiran lima tahun di Sabah

 GRS laksanakan perubahan ekonomi, pelaburan dan pekerjaan dalam pentadbiran lima tahun di Sabah, dengan hasil negeri meningkat melebihi RM7 bilion

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah melaksanakan pelbagai perubahan termasuk usaha memulihkan ekonomi negeri, meningkatkan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan sepanjang lima tahun menerajui pentadbiran kerajaan Sabah.

Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor berkata walaupun menempuh banyak cabaran, GRS bersama rakan kerjasama dalam kerajaan berupaya menanganinya dengan penuh berhemah dan bijaksana.

Beliau berkata antara pembangunan dilaksanakan termasuk rancangan mewujudkan tiga lagi taman perindustrian baharu di daerah berpotensi seperti Kimanis atau Bongawan, Kota Belud atau Kota Marudu dan Kudat.

“Ini kerana Taman Perindustrian Kota Kinabalu serta Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang kini tidak lagi dapat menampung permintaan yang semakin meningkat,” katanya ketika berucap sebelum mengumumkan calon GRS bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Sabah turut mencatat pencapaian penting apabila memeterai perjanjian kerjasama komersial dengan PETRONAS, yang memberi manfaat besar kepada negeri menerusi SMJ Energy Sdn Bhd dan syarikat-syarikat tempatan.

Dalam aspek pendidikan dan pembangunan modal insan, kerajaan Sabah menyediakan peruntukan terbesar berjumlah RM1.2 bilion yang disalurkan melalui pelbagai tabung pendidikan dan biasiswa.

Peruntukan itu memberi manfaat kepada lebih 480,000 anak negeri melanjutkan pelajaran.

Usaha menjaga kebajikan rakyat khususnya golongan miskin dan miskin tegar terus menjadi keutamaan termasuk menyediakan Program Rumah Mesra SMJ.

Sebanyak 5,322 rumah telah siap dibina dan diduduki, selain bantuan tunai RM300 sebulan disalurkan kepada 100,000 penerima.

Bilangan loji rawatan air di Sabah juga ditambah daripada 85 kepada 91 selain menaik taraf beberapa loji utama seperti di Limbahau, Beluran, Kinabatangan dan Keningau.

“Projek menaik taraf LRA Kogopon di Papar dijangka siap pada 2026, manakala empangan Cinta Mata di Tawau dijangka siap pada 2027 melibatkan kos keseluruhan RM1.2 bilion,” katanya.

Sistem penyimpanan tenaga bateri turut diperkenalkan bagi memenuhi keperluan elektrik di pantai timur Sabah.

Majlis Tenaga Negeri Sabah turut meluluskan 11 projek jana kuasa berkapasiti 1,219 megawatt yang dijangka siap menjelang 2030.

Ini termasuk projek empangan hidroelektrik Ulu Padas bernilai RM3.048 bilion.

Projek Lebuhraya Pan Borneo juga kini kembali rancak dilaksanakan dengan empat daripada 39 pakej telah siap.

Sebanyak RM4.89 bilion diperuntukkan bagi pengurusan serta pembaikan jalan-jalan kampung di luar bandar Sabah.

“Kejayaan pentadbiran GRS juga terserlah apabila hasil kutipan negeri mencatat peningkatan ketara dua tahun berturut-turut melebihi RM7 bilion berbanding RM3.59 bilion pada 2020,” katanya.

Beliau menegaskan kejayaan itu adalah hasil kecekapan tadbir urus serta semangat perjuangan “Sabah diutamakan”. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories