Gabungan Rakyat Sabah perkenal manifesto PRN berteraskan empat rukun utama dengan 16 strategi pembangunan menyeluruh untuk kemajuan negeri.
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 berteraskan gagasan “Rumah Kita, Kita Jaga” dengan tema Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan.
Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata gagasan itu dipacu menerusi empat rukun utama iaitu Sabah Diutamakan, Sabah Maju ke Hadapan, Sabah Maju Jaya dan Sabah Bersatu.
Empat rukun berkenaan diterjemahkan melalui 16 strategi yang merangkumi pelbagai agenda pembangunan merentasi sektor ekonomi, infrastruktur, keselamatan, pendidikan, pembangunan modal insan, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat.
Manifesto itu turut merangkumi tuntutan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan.
“GRS bertekad menyempurnakan segala yang terkandung dalam manifesto ini selaras dengan dasar hala tuju Sabah Maju Jaya, yang menjadi tonggak kerajaan negeri,” katanya pada majlis pelancaran manifesto di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah menegaskan GRS bukan sahaja mampu mengekalkan kestabilan dan perpaduan, malah berupaya membawa perubahan dan kemajuan.
Menurutnya, parti gabungan itu telah membuktikan kemampuan dalam menyediakan asas kukuh ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat sepanjang lima tahun menerajui kerajaan negeri.
“Sesungguhnya, perjuangan GRS adalah dari rakyat, untuk rakyat, menuju Sabah yang maju dan makmur, tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai warganegara yang menjunjung kedaulatan undang-undang negara,” katanya.
“Dengan manifesto yang komprehensif, berlandaskan iltizam dan komitmen, saya yakin GRS akan mendapat sokongan padu rakyat untuk menguasai 55 kerusi DUN yang dipertandingkan.”
Pada PRN kali ini, GRS bertanding di 55 daripada 73 Dewan Undangan Negeri dengan 33% daripadanya adalah muka baharu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala tarikh penamaan calon pada 15 November dan 25 November bagi pengundian awal. – Bernama






