Jabatan Imigresen tawarkan penggantian Pasport Malaysia Antarabangsa percuma kepada mangsa banjir yang kehilangan atau rosakkan dokumen
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia menawarkan penggantian Pasport Malaysia Antarabangsa secara percuma kepada mangsa banjir yang kehilangan atau mengalami kerosakan dokumen akibat bencana tersebut.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata inisiatif ini bertujuan memudahkan urusan mangsa terjejas serta memastikan keperluan perjalanan dan urusan rasmi dapat diteruskan tanpa halangan.
“Mangsa yang pasportnya hilang atau rosak akibat bencana banjir boleh mengemukakan permohonan penggantian pasport tanpa sebarang bayaran di mana-mana Pejabat JIM yang berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengharapkan inisiatif ini dapat meringankan beban mangsa banjir dan membantu mereka kembali mengurus kehidupan harian dengan lebih mudah.
Bagi tujuan penggantian pasport, individu terjejas perlu memastikan pasport milikannya masih sah dan tidak kurang daripada enam bulan.
Mereka juga perlu membawa kad pengenalan, pasport asal jika masih ada, serta menyerahkan salinan laporan polis bagi kes kehilangan pasport.
Pemohon juga perlu menyerahkan laporan pengesahan bencana banjir daripada Jabatan Bomba atau Pihak Berkuasa Tempatan.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pemohon boleh hadir ke Pejabat Imigresen berhampiran bagi mendapatkan maklumat dan bantuan selanjutnya.
Zakaria berkata pihaknya kekal komited memberikan perkhidmatan terbaik serta memastikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan. – Bernama







