the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 2, 2026
31.7 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Islam tidak halang wanita sertai misi kemanusiaan Gaza jika penuhi syarat

KULAI: Orang ramai diingatkan supaya tidak mempersoalkan penyertaan sukarelawan rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza sebaliknya digalakkan untuk terus menitipkan doa dan sokongan mengikut kemampuan masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar berkata Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil telah mengeluarkan pandangan hukum yang jelas bahawa harus bagi wanita menyertai misi berkenaan dengan syarat tertentu antaranya dari aspek keselamatan dan kesediaan.

“Kalau syarat-syarat itu dipenuhi, saya tidak nampak mengapa wanita tidak boleh turut serta. Yang penting ialah keselamatan mereka terjamin. Kita yang tidak berpeluang ke sana boleh menyumbang dengan cara lain sama ada melalui doa ataupun kewangan,” katanya hari ini.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan kepada Surau Nurul Haq yang ditimpa insiden van jenazah dicuri baru-baru ini.

Beliau berkata fokus utama kini adalah memastikan misi kemanusiaan Sumud Flotilla selamat tiba di Gaza untuk mengagihkan bantuan makanan serta keperluan lain kepada penduduk Palestin yang sedang berdepan kebuluran.

“Kita tidak mahu ada pihak yang hanya tahu mempersoalkan sedangkan apa yang lebih penting ialah solidariti kita sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu,” katanya.

Beliau berkata pada masa sama pihak penganjur dan kerajaan juga perlu memastikan aspek keselamatan serta persediaan logistik mencukupi supaya misi berkenaan benar-benar mencapai matlamat tanpa mendatangkan mudarat lebih besar.

Misi kemanusiaan GSF menyaksikan lebih 1,000 aktivis dari 44 negara mempertaruhkan nyawa merentasi Laut Mediterranean untuk memecah sekatan dikenakan Israel terhadap Gaza.

Kumpulan itu belayar dengan lebih 50 kapal flotila membawa bantuan kemanusiaan, ubat-ubatan dan makanan untuk rakyat Gaza yang disekat sejak perang 7 Oktober 2023 meletus.

Kumpulan wanita dari Malaysia yang menyertai misi itu terdiri daripada penyanyi Zizi Kirana, pelakon Ardell Aryana dan aktivis kemanusiaan Iylia Balqis serta Lia Maryam. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Forest City SFZ Highlights Early JS-SEZ Traction as Investment Pipeline Expands

Forest City SFZ reported early progress under the Johor-Singapore Special Economic Zone, highlighting growing investment interest, family office incentives and improved cross-border connectivity as the economic corridor advances its strategy to attract regional businesses and long-term investment.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings