Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menyumbang 199,238 tan metrik beras putih atau 9.5% kepada keperluan negara tahun lepas, meningkat berbanding tahun sebelumnya.
KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menyumbang 199,238 tan metrik beras putih atau 9.5% kepada keperluan negara tahun lepas.
Angka itu meningkat berbanding 143,773 tan metrik pada tahun sebelumnya.
Pengerusinya Khalid Abd Samad berkata peningkatan itu mencerminkan keberkesanan pelaksanaan pelbagai inisiatif penambahbaikan.
Inisiatif itu termasuk pengurusan tanaman yang lebih sistematik dan penggunaan input pertanian secara efisien.
“Ia menunjukkan keupayaan KADA untuk terus memperkukuh sumbangan kepada bekalan beras negara. Bagi tahun ini, kita menyasarkan peningkatan sumbangan sekurang-kurangnya pada kadar 11%,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu KADA 2026 di Ibu Pejabat KADA.
Selain sektor padi, 2025 turut mencatat kejayaan dalam sektor bukan padi.
Penglibatan 426 peserta melibatkan peruntukan berjumlah RM73.78 juta bagi pembangunan usahawan tani di bawah seliaan KADA.
Khalid berkata KADA akan terus memperkukuh kapasiti pengeluaran padi menerusi pendekatan bersepadu.
Pendekatan itu menumpukan kepada peningkatan produktiviti, pemodenan amalan pertanian dan penerapan teknologi pintar.
“Dalam usaha memperluaskan kawasan tanaman padi, KADA merancang mengusahakan semula 242 hektar tanah terbiar di Tumpat melalui kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan,” katanya.
KADA juga akan melaksanakan tanaman padi di kawasan seluas 60 hektar tanah sawah yang dimasuki air masin di Kampung Simpangan, Tumpat.
Kawasan sawah di sekitar Machang juga akan dikenal pasti untuk diusahakan di bawah seliaan KADA.
Khalid berkata pendekatan itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada import beras.
Ia juga menjadi asas penting dalam memperkukuh kedaulatan makanan negara secara mampan.
Kemudahan Projek Pembinaan Stesen Pam Kemubu 3 dan 4 dijangka mula beroperasi bulan depan.
Kerja pengukuhan tebing serta penambahbaikan cerucuk yang sedang dilaksanakan diyakini dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan air di sawah pada musim kemarau tahun ini.
Sementara itu, Khalid memaklumkan KADA menerima peruntukan RM317 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-13.
Peruntukan itu bagi melaksanakan 19 projek pembangunan, merangkumi 18 projek baharu dan satu projek sambungan.
Beliau berkata peruntukan itu dirangka secara strategik bagi menyokong mandat KADA dalam memperkukuh rantaian makanan negara.
Ia sejajar dengan keperluan meningkatkan daya tahan sistem makanan berdepan ketidaktentuan pasaran global.








