Calon BN-GRS pacu kempen terakhir PRK Kinabatangan dan DUN Lamag, yakin mampu tingkatkan majoriti undi menjelang Sabtu
KINABATANGAN: Kempen Barisan Nasional (BN) bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kini memasuki “gear lima”.
Calon BN Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata tempoh berbaki dua hari sebelum pengundian Sabtu ini dimanfaatkan untuk memperkemas usaha.
“Kita dalam pecutan terakhir bagi memastikan kita dapat memenangkan kerusi Parlimen,” katanya.
Beliau telah selesai menjelajah kesemua 27 Pusat Daerah Mengundi di kawasan Parlimen berkenaan.
Kempen bagi kedua-dua PRK itu telah memasuki hari ke-12 hari ini sejak bermula pada 10 Januari lepas.
PRK diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember tahun lepas.
Ketua GRS Bahagian Sukau Datuk Juhari Janan yakin kerjasama jitu parti komponen Kerajaan Perpaduan Sabah mampu membantu kemenangan calon BN.
“Kita mahu tingkatkan undi kepada majoriti lebih 10,000,” katanya.
Pada PRU15, Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Pertandingan DUN Lamag pula ialah satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).








