Kementerian Perpaduan Negara akan teliti cadangan angkat komuniti Baba Nyonya dan Chetti sebagai ikon perpaduan negara, kata Menteri Datuk Aaron Ago Dagang
IPOH: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan meneliti cadangan untuk mengangkat komuniti Baba Nyonya dan Chetti sebagai ikon perpaduan negara.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata kementerian itu bersikap terbuka menerima mana-mana pencalonan yang berpotensi diangkat sebagai ikon perpaduan.
Beliau berkata ini termasuk komuniti warisan bagi mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Kita akan meneliti perkara ini dan di kementerian juga telah ada banyak ikon perpaduan,“ katanya.
Beliau mencontohkan atlet Pandelela Rinong di Sarawak sebagai ikon perpaduan nombor satu.
Aaron berkata di bawah Yayasan Sukarelawan Siswa, kementerian mempunyai bukan sahaja ikon malah ejen perpaduan.
“Kementerian juga terima banyak cadangan daripada orang ramai untuk mengangkat tokoh-tokoh kepimpinan negara sebagai ikon perpaduan,“ ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI Tahun 2026 Peringkat Negeri Perak.
Cadangan mengangkat komuniti Baba Nyonya dan Chetti Melaka sebagai Ikon Perpaduan Negara dibangkitkan Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin.
Cadangan itu dibangkitkan semasa Sesi Perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Aaron berkata KPN bersedia untuk mematuhi sebarang ketetapan kerajaan berkaitan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035.
Ketetapan itu berhubung pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun.
“Setiap apa yang dikemukakan itu adalah untuk menyelaraskan mutu pendidikan di seluruh negara,“ katanya.
Beliau berkata Tabika Perpaduan akan melihat kepada keperluan nanti.
Aaron menyifatkan inisiatif penyelarasan itu sebagai langkah positif memandangkan terdapat hampir 30,000 tadika pelbagai kategori di seluruh negara.
Kategori itu termasuk tadika kerajaan, swasta, antarabangsa, keagamaan serta Tabika Perpaduan dan KEMAS.








