the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, December 8, 2025
21.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Sukan SEA: Wei Chong-Kai Wun bantu Malaysia ke final berpasukan lelaki

Man Wei Chong-Tee Kai Wun bantu Malaysia atasi Thailand 3-1, mara ke final badminton berpasukan lelaki Sukan SEA 2025 untuk hadapi Indonesia

BANGKOK: Malaysia semakin hampir untuk menamatkan penantian selama dua dekad memenangi pingat emas dalam acara badminton berpasukan lelaki pada Sukan SEA selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Thailand 3-1 di Pathum Thani hari ini.

Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun muncul wira selepas membantu Malaysia mara ke final edisi 2025 dengan menewaskan Dechapol Puavaranukroh-Pakkapon Teeraratsakul 21-14, 18-21, 21-17 di Gimnasium 4, Kampus Rangsit Universiti Thammasat.

Meskipun mara ke final, Wei Chong berasakan masih belum boleh diraikan kerana mereka sepatutnya menamatkan perlawanan dalam set straight, sebaliknya membiarkan ia berlarutan sehingga set penentuan, sekali gus menjadikan saingan lebih sukar daripada sepatutnya dan menambah sedikit tekanan.

“Mungkin pada set kedua mereka (pihak lawan) mengubah corak permainan dan ia sedikit mengganggu rentak kami. Kami belum tahu lagi pasangan mana yang akan kami jumpa (di final), jadi kami hanya perlu membuat persiapan,” kata Kai Wun selepas perlawanan itu.

Malaysia sebelum itu ketinggalan apabila perseorangan utama negara Leong Jun Hao tewas 15-21, 15-21 kepada pilihan tuan rumah dan juara dunia 2023 Kunlavut Vitidsarn.

Perlawanan kembali memihak kepada Malaysia apabila juara dunia 2022 Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menyamakan kedudukan 1-1 selepas mencatat kemenangan 21-18, 21-19 ke atas Supak Jomkoh-Peeratchai Sukphun.

“Ini kali pertama kami kembali bermain selepas sebulan berehat daripada sebarang kejohanan, jadi kami perlahan-lahan mendapatkan semula rentak,” kata Aaron selepas perlawanan itu.

Pemain perseorangan kedua Justin Hoh kemudian meletakkan Malaysia di depan buat kali pertama hasil kemenangan straight set ke atas Panitchaphon Teeraratsakul 21-10, 21-17.

 Justin ketika mengulas prestasinya mengakui beliau terlalu bersemangat untuk menamatkan perlawanan, yang hampir memakan diri apabila membenarkan lawan mengutip lima mata berturut-turut, sekali gus merapatkan jurang kepada hanya dua mata pada kedudukan 19-17, namun beliau akhirnya kembali tenang untuk menjadikan kedudukan 2-1 buat Malaysia.

Situasi itu membuka ruang untuk Wei Chong-Kai Wun tampil mengesahkan tempat Malaysia ke final buat kali kelima berturut-turut, selepas muncul naib juara dalam setiap edisi Sukan SEA sejak edisi 2017 ketika Malaysia menjadi tuan rumah di Kuala Lumpur.

Malaysia kini berpeluang menebus kekalahan pada final edisi 2023 kepada musuh tradisi Indonesia pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung Rabu ini.

Indonesia mara ke final selepas menewaskan Singapura 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sukan SEA 2025 di Thailand berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di dua wilayah, Bangkok dan Chonburi. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Gorilla Technology Group Completes Strategic Investment in Real-Time Infrastructure Intelligence Leader Astrikos.ai

London, United Kingdom - Newsfile Corp. - December 8, 2025 - Gorilla Technology Group Inc. (NASDAQ: GRRR) ("Gorilla" or the "Company"), a global solution provider in AI-driven Security Intelligence, Network Intelligence, Business Intelligence and IoT technology, today announced its strategic investment into Astrikos.ai, a fast-growing infrastructure intelligence company that specialises in real-time monitoring, prediction, and optimisation for critical national systems.

Most Viewed

spot_img

Popular Categories