Mesyuarat STAR minggu depan akan bincang langkah perkukuh komunikasi kerajaan dengan media, termasuk peranan Unit Komunikasi Korporat
PUTRAJAYA: Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) minggu depan akan membincangkan langkah memperkukuh komunikasi antara kerajaan dan media, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata peningkatan komunikasi media merupakan antara pemboleh daya utama dalam pelaksanaan reformasi pentadbiran awam, justeru satu kertas cadangan akan disediakan oleh sekretariat bagi memperinci penambahbaikan terhadap fungsi Unit Komunikasi Korporat (UKK) di kementerian dan jabatan.
Shamsul Azri berkata usaha itu turut dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet bagi menambah baik peranan UKK sekali gus memperkukuh kerjasama dengan media supaya semua maklumat yang sepatutnya diketahui rakyat dapat disampaikan dengan betul.
“Kita akan cuba memperbaiki apa juga jurang yang dibangkitkan oleh pihak media seperti kesukaran mendapatkan maklumat… kerjasama antara media dan kerajaan juga akan terus diperkukuh dan semua isu ini akan dibawa dalam mesyuarat STAR akan datang.
“Kita akan berusaha mencari penyelesaian yang terbaik kerana kerajaan dan media berpisah tiada, dan mesti bekerjasama,” katanya pada sesi libat urus KSN bersama ketua pengarang media di sini hari ini.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.
Ditanya mengenai isu perjawatan dalam UKK terutama yang membabitkan strategik korporat, Shamsul Azri berkata masalah itu akan diteliti pada mesyuarat STAR nanti.
“Perjawatan (dalam UKK) kita akan tengok semula, sebab kadang-kadang kita boleh buat pelbagai tugas serentak, tak perlu ada dua pegawai,” katanya.
Ditanya jaminan bahawa laporan media yang membawa suara rakyat tidak disalah tafsir sebagai memburukkan pemerintah, Shamsul Azri berkata kerajaan mengamalkan kebebasan media dan mereka berhak menyuarakan pandangan dan pendapat tetapi jangan berbentuk fitnah, berbaur perkauman atau menyerang individu tertentu.
“Jika niatnya untuk kesejahteraan rakyat dan menambah baik kerajaan, kita amat mengalu-alukannya,” kata beliau.
STAR ditubuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diterajui KSN sebagai platform utama untuk mempercepat pelaksanaan reformasi dalam perkhidmatan awam.
Fungsi utama STAR ialah mengenal pasti dan menyelesaikan isu kelewatan pelaksanaan projek, kerenah birokrasi serta menambah baik kecekapan agensi kerajaan.
Ia juga berperanan sebagai pasukan petugas bagi menyelesaikan masalah, dengan tumpuan kepada projek berimpak tinggi dan berfokuskan rakyat. – Bernama






