IPOH: Sepasang suami isteri warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun sehingga mangsa meninggal dunia.
Siswadi, 35, dan Nurhayati, 34, didakwa melakukan perbuatan itu di No 2181, Kampung Sadang Blanja Kiri, Parit dalam daerah Perak Tengah pada 10 pagi 22 September lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda 50,000 ringgit atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S. Vitthiyeswary manakala kedua-dua tertuduh yang berasal dari Medan tidak diwakili peguam.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad kemudian memerintahkan agar Kedutaan Indonesia dimaklumkan bahawa terdapat dua warganya yang telah dituduh di mahkamah.
Mahkamah menetapkan 17 November ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman. – Bernama









