Wednesday, November 12, 2025
26.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pemasangan CCTV di asrama sekolah fokus keselamatan dan privasi pelajar

Kerajaan peruntuk RM8 juta untuk pasang CCTV di 533 sekolah berasrama, tekankan kawalan akses dan perlindungan data demi keselamatan pelajar.

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama akan memberi tumpuan kepada kawalan akses dan perlindungan data bagi memastikan keselamatan serta privasi pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata rakaman akan disimpan sekurang-kurangnya 30 hari dengan spesifikasi teknikal ditetapkan kementerian.

“Pentadbiran pengoperasian keseluruhan CCTV ini kesemuanya telah pun digariskan mengikut garis panduan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim yang meminta penjelasan mengenai akses kepada rakaman CCTV, tempoh penyimpanan dan prosedur pemadaman.

Wong berkata kerajaan menyalurkan RM3 juta bagi pemasangan CCTV di 200 sekolah, serta RM5 juta tambahan untuk melengkapkan 333 sekolah berasrama lain.

Beliau menegaskan kedua-dua inisiatif mempunyai tujuan masing-masing dan tidak menjejaskan pelaksanaan program lain.

Pemasangan dilaksana secara berfasa melalui perolehan terbuka dengan sokongan teknikal Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia.

Sebanyak 149 daripada 200 sekolah, atau 75 peratus telah siap pemasangannya setakat ini.

Perolehan dibuat melalui sistem e-Perolehan oleh pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah bergantung kepada keperluan setempat.

CCTV dipasang di kawasan awam strategik seperti laluan utama, pintu masuk dan keluar, tangga, koridor, dewan makan, bilik prep serta kawasan terpencil.

Bilik tidur, tandas dan ruang persimpanan dikecualikan bagi menjaga privasi pelajar dengan rondaan warden diperkukuh.

Sekolah bertanggungjawab memastikan sistem sentiasa berfungsi dan diselenggara mengikut garis panduan serta waranti minimum setahun.

Setiap set CCTV ditetapkan harga siling RM15,000 dengan peruntukan disalurkan melalui sekolah, JPN atau PPD.

Dalam soalan berasingan, Wong berkata kementerian komited menjamin kelestarian pendidikan Tamil melalui prinsip inklusif, ekuiti dan kualiti.

Kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) adalah terpelihara di bawah undang-undang sedia ada dengan pelbagai inisiatif pemerkasaan.

Inisiatif tersebut termasuk penambahbaikan infrastruktur, kemudahan asas moden seperti makmal sains dan teknologi maklumat serta peningkatan pembangunan profesional guru.

“Di SJKT, bahasa Tamil menjadi bahasa pengantar bagi memudahkan pemahaman konsep dan memperkukuh penguasaan bahasa ibunda,” katanya.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kekal sebagai mata pelajaran wajib di SJKT supaya pelajar dapat menguasai bahasa kebangsaan. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories