the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, June 28, 2026
28.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Peruntukan MP pembangkang: Kerajaan setuju tubuh jawatankuasa perhalusi cadangan

KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi membincangkan sebarang cadangan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan berkata penubuhan jawatankuasa itu perlu bagi meneliti sebarang cadangan daripada pembangkang bagi menyelesaikan isu berkenaan secara lebih konsensus dan menyeluruh.

Beliau berkata setakat ini, hanya Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang datang bertemunya untuk berunding dalam isu berkenaan.

“Sebab kerajaan ini kita terpaksa ada konsensus, jadi konsenses itu perlu kita dapatkan, tapi tak perlu bawa ke media nanti kita bincang siapa-siapa yang nak bincang kita bincang.

“Saya perlu halusi segala cadangan sebab walaupun banyak cadangan dikemukakan oleh Syed Saddiq tapi dia nak mewakili pembangkang … tapi dia hanya mewakili diri sendiri sebab pembangkang sudah ada ketua pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin) jadi kita kena lihat keseluruhan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) di sini hari ini.

Sebelum ini, Syed Saddiq berkata beliau sudah lima kali mengadakan rundingan dengan Fadillah seperti yang dinasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim namun tiada perkembangan positif sehingga ke hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata sehingga hari ini tiada pertemuan yang diadakan antara beliau dan ketua pembangkang.

“Kalau dari segi peruntukan, dulu juga pembangkang yang mengatakan dia orang tak nak berunding, dia orang tak setuju apa semua.

“Sebab itu saya kata tak ada perundingan, yang ada Syed Saddiq memang saya menerima cadangan daripada dia yang lain tak ada … apa kita nak buat,” katanya.

Semalam, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa tidak pernah ada sebarang syarat yang menetapkan Ahli Parlimen pembangkang perlu menyokong beliau bagi mendapatkan peruntukan.

Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menolak draf cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings