the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, December 13, 2025
23.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Polis percaya kes tembak di Seremban berpunca daripada dendam kongsi gelap

Polis Negeri Sembilan tahan tiga lelaki, rampas pistol dalam kes tembak maut yang dipercayai berpunca dendam kumpulan kongsi gelap

SEREMBAN: Polis percaya kejadian seorang lelaki maut ditembak di dalam kereta di Jalan Rasah–Mambau pada Rabu lepas bermotifkan dendam membabitkan kongsi gelap.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata pihaknya setakat ini menahan tiga lelaki untuk membantu siasatan.

Polis turut merampas sepucuk pistol dan beberapa butir peluru yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Kita masih lagi mengesan suspek dan saksi untuk bantu siasatan dan setakat ini, tujuh individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan,” katanya.

Beliau menambah polis percaya kes ini disebabkan balas dendam.

“Lelaki yang maut itu merupakan pengawal keselamatan kepada lelaki cedera yang disyaki merupakan pemimpin kepada kumpulan kongsi gelap,” jelas Alzafny.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar.

Seorang lagi lelaki berumur 47 tahun cedera selepas ditembak dua suspek yang menaiki motosikal.

Dalam perkembangan lain, Alzafny berkata tiada pihak tampil membuat laporan mengenai insiden seorang lelaki cedera terkena tembakan di Kampung Maasop, Senaling semalam.

“Polis kini sedang mengesan individu terlibat. Kita tidak menolak kemungkinan ada kegiatan pemburu haram di hutan di negeri ini,” katanya.

Ketika kejadian, mangsa berusia 47 tahun itu berada di lokasi seorang diri sebelum terkena tembakan peluru penabur.

Mangsa dilaporkan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories