Pasukan hoki dalam dewan lelaki dan wanita Malaysia tewas di final Sukan SEA 2025, masing-masing kepada Indonesia dan Thailand
SKUAD hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara gagal meraih pingat emas pada Sukan SEA 2025 selepas tewas di pentas final di Pusat Belia Bangkok.
Pasukan lelaki tewas 0-2 kepada juara bertahan Indonesia menerusi penentuan penalti selepas terikat 4-4 dalam masa permainan sebenar.
Skuad wanita pula kecundang 3-4 di tangan juara bertahan Thailand dalam perlawanan akhir yang lain.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua skuad Malaysia sekali lagi kempunan emas selepas dikecewakan lawan sama di final edisi 2023 di Kemboja.
Dalam saingan lelaki, Indonesia mendahului 2-0 menerusi jaringan Yuan Jodie sebelum Malaysia merapatkan jurang melalui Meor Muhamad Azuan Hasan.
Malaysia kembali ketinggalan 1-3 hasil gol Revo Priliandro namun bangkit menyamakan kedudukan 3-3 menerusi Mohamad Ashran Hamsani dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan.
Pasukan negara mendahului 4-3 pada suku ketiga hasil jaringan Shahmie Irfan Suhaimi.
Revo Priliandro sekali lagi menyamakan kedudukan 4-4 pada suku keempat, mengheret perlawanan ke penentuan penalti.
Dalam penentuan penalti, penjaga gol Indonesia Alam Fajar menyelamatkan pukulan Abdul Khaliq Hamirin dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan.
Sementara itu, dalam final wanita, Thailand terlebih dahulu di depan hasil jaringan Wilawan Duangwao.
Jaringan Raja Norsharina dan Nor Asfarina Isahiyifiqa meletakkan Malaysia mendahului 2-1.
Thailand bangkit dengan gol penyamaan hasil penyudah Jiratchaya Todkaew sebelum menambah dua lagi gol.
Malaysia hanya berjaya merapatkan jurang menerusi Nor Asfarina Isahiyifiqa sebelum wisel penamat ditiup.
Kali terakhir Malaysia menyapu bersih emas hoki dalam dewan adalah pada edisi 2019 di Filipina.
Sukan hoki dalam dewan julung kali dipertandingkan pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Pada edisi sulung itu, skuad lelaki negara mencipta sejarah memenangi pingat emas manakala skuad wanita meraih gangsa. – Bernama








