Kementerian Pendidikan Tinggi ambil alih sistem prauniversiti Tingkatan 6 dan Matrikulasi, pelajar kini dikategorikan sebagai pelajar pendidikan tinggi bermula tahun ini.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti melibatkan Tingkatan 6 dan Matrikulasi bermula tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata langkah itu sekaligus menjadikan pelajar kedua-dua kelompok itu secara rasmi sebagai pelajar pendidikan tinggi.
“Mulai tahun ini, Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengambil alih seluruh sistem pendidikan prauniversiti iaitu Tingkatan 6 dan Matrikulasi,” katanya.
Beliau menegaskan pelajar Tingkatan 6 dan Matrikulasi bukan lagi pelajar sekolah dan telah masuk kategori pendidikan tinggi.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini.
Pada masa sama, kerajaan turut menangani isu kontroversi tahunan berkaitan peluang kemasukan ke kursus pilihan yang sering terhad.
Isu ini sering membelenggu pelajar kaum minoriti yang mencatat keputusan cemerlang tetapi berdepan kekangan tempat.
Bagi memastikan keadilan peluang, kerajaan telah meminta universiti menambah 1,500 tempat baharu dalam kursus popular.
Universiti terbabit bersetuju menambah tempat baharu merangkumi pelbagai bidang popular.
Bidang itu termasuk undang-undang, perakaunan, kewangan dan perbankan, serta kecerdasan buatan.
Selain itu, kerajaan memberi keutamaan kepada pelajar Asasi dan Matrikulasi seperti lazimnya.
Jaminan sama turut diberikan kepada pelajar Tingkatan 6 yang menduduki STPM berprestasi tinggi.
“Kita juga telah beri jaminan supaya pelajar-pelajar Tingkatan 6 STPM diberi juga keutamaan untuk mendapatkan tempat di universiti,” kata Anwar.
Beliau menambah keutamaan itu adalah bagi pelajar yang mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif 4.0.
“Seday upaya universiti akan beri tempat walaupun kadang-kadang pilihan kursus itu tertakluk kepada keupayaan universiti,” jelasnya.








