PARIT: Seramai 1,200 pelajar sekolah di negeri ini bakal menerima cermin mata percuma menerusi suatu program kerjasama antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bersama Yayasan Perak dan Persatuan Kebajikan Amal Makmur Negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata inisiatif itu bertujuan memastikan tiada pelajar keciciran dalam pembelajaran disebabkan rabun, selain sebagai langkah pencegahan awal supaya pelajar selesa ketika sesi pembelajaran.

Beliau berkata Persatuan Kebajikan Amal Makmur Negeri Perak akan menjalankan pemeriksaan mata di sekolah-sekolah terpilih seluruh negeri membabitkan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah atau B40, anak yatim serta asnaf fakir miskin.

“Nama penerima yang terpilih menerima manfaat program terbabit diterima daripada PPD mengikut kriteria yang ditetapkan dan Yayasan Perak bertindak menyalurkan bantuan tersebut mengikut hasil laporan pemeriksaan mata yang dikeluarkan,“ katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Projek Pemeriksaan Mata Pelajar-Pelajar Sekolah 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muhammad Shah di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Persatuan Kebajikan Amal Makmur Negeri Perak K. Nachemutu dan Pakar Mata Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh (HRPB) Datuk Dr Jasvindar Singh.

Khairudin berkata pihaknya menyasarkan 100 pelajar bagi setiap daerah dan untuk fasa pertama tahun ini program dimulakan di daerah Perak Tengah melibatkan 20 sekolah.

Beliau berkata iniasitif sebegitu perlu diperhebat berikutan terdapat murid yang tidak mampu mendapatkan kemudahan tersebut atau membuat cermin mata, sekali gus menjejaskan pembelajaran mereka.

Justeru, katanya program itu juga bertujuan memperkasa masyarakat dengan meningkatkan kualiti murid menerusi pendidikan serta membantu golongan kurang bernasib baik.

Sementara itu, Jasvindar berkata 10 hingga 13 peratus pelajar sekolah di Perak menghadapi masalah penglihatan seperti rabun jauh, rabun dekat dan astigmatisme.

Dari segi luaran menurut Jasvindar mata pesakit mungkin nampak normal, tetapi sebenarnya mereka berdepan masalah yang perlu dirawat segera.

“Kebanyakan pelajar kini terdedah kepada risiko rabun jauh kerana ketika sesi pembelajaran secara dalam talian lalu, hampir kesemua pelajar menggunakan gadget selain kurangnya aktiviti luar.

“Mata kita memerlukan sudut pandang menyeluruh dan bukan sekadar tertumpu kepada sesuatu objek sahaja kerana ia akan memberi kesan kepada mata kita,“ katanya. -Bernama