GOPENG: Sebanyak 35 kediaman di Kampung Chulek di sini mengambil inisiatif dengan menghiasi sekitar halaman rumah mereka dengan Jalur Gemilang bersempena Bulan Kebangsaan yang akan disambut Khamis ini.

Kebanyakan rumah penduduk dihiasi dengan Jalur Gemilang dan bahan-bahan terpakai dijadikan replika mercu tanda negara ternasuk Menara Berkembar Petronas, jet pejuang, kereta kebal, meriam, wau serta bunga raya.

Seorang penduduk, Fatimah Hassan, 74, berkata beliau bersama anak dan menantunya menghasilkan jambatan Pulau Pinang menggunakan batang paip polivinil klorida (PVC), polisterin dan wayar keluli tahan karat.

“Jambatan ini sebagai simbolik negeri kelahiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jika sebelum ini ramai yang buat Menara Berkembar dan kereta kebal, jadi tahun ini kita buat lain daripada yang lain dengan hasilkan jambatan Pulau Pinang,“ katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Mohd Kamil Hindin, 63, pula berkata pengalaman penyertaan tahun lepas membuatnya menambah koleksi hiasan merdeka menerusi replika roket, kapal terbang, kereta kebal dan bendera 14 negeri.

Seorang lagi penduduk, Fauziah Kamarudin, 60, berkata beliau memperuntukkan RM500 untuk menghiasi sekitar rumahnya supaya berada dalam suasana yang ceria untuk menyambut Bulan Kebangsaan.

“Suami dan anak lelaki turut menyediakan sudut galeri memaparkan tokoh pejuang kemerdekaan dan sejarah pemimpin negara bermula daripada Perdana Menteri Malaysia yang pertama hingga ke sepuluh.

“Anak saya yang bersemangat sehingga sanggup kutip botol minuman terbuang, dicantum-cantum menjadi Menara Berkembar,“ katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Halaman Rumah Merdeka Muhammad Nur Azzam Mohd Azman berkata penganjuran kali kedua tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu.

Beliau berkata mereka yang berjaya akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,300 bagi tempat pertama, kedua (RM1,000) dan ketiga (RM500).

“Semua peserta turut berpeluang memenangi 35 hadiah cabutan bertuah iaitu pelbagai barangan elektrik seperti televisyen, peti ais dan mesin basuh,“ katanya. -Bernama