LANGKAWI: Malaysia menyokong penuh sasaran untuk mengurangkan intensiti karbon dalam perkapalan antarabangsa sebanyak 40 peratus pada tahun 2030 dan 70 peratus menjelang 2050.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke (gambar) berkata ia sejajar dengan komitmen Malaysia untuk memastikan industri maritim menuju ke arah kelestarian alam sekitar jangka panjang.
“Sebagai contoh, Malaysia berada di barisan hadapan dalam beberapa inisiatif antarabangsa ini melalui peranan aktifnya dalam projek Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO)-Norway GreenVoyage 2050, serta projek Blue Solution IMO-Partnerships in Environmental Management for the Seas of East Asia (PEMSEA) yang disasar mengurangkan pelepasan karbon dalam pengangkutan maritim,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di Persidangan Maritim Antarabangsa bertemakan Resilient Maritime Southeast Asia: Safe Secure and Sustainable Ocean di sini, bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ‘23) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini, hari ini.
Menurutnya walaupun perkapalan dianggap sebagai mod pengangkutan paling cekap tenaga, ia masih menyumbang sekitar tiga peratus pelepasan global.
Loke berkata Malaysia memperakui laporan oleh IMO bahawa perkapalan global semakin meningkat dan pelepasan daripada aktiviti perkapalan dianggarkan meningkat kepada 130 peratus menjelang 2050.
Sementara itu beliau berkata usaha IMO untuk membangunkan kod Kapal Permukaan Autonomi Maritim (MASS) bukan mandatori untuk menyokong jurang fungsi dan operasi, seharusnya dipuji.
“Dalam hal ini, Malaysia menyokong peranan IMO dalam menerajui bagi menangani kemajuan teknologi yang pesat dalam pembangunan kapal komersial autonomi,” katanya. -Bernama