TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia dan merampas sebuah bot tunda yang membawa muatan 856 batang kayu balak di kedudukan 0.4 batu nautika selatan muara Sungai Logpond di sini, Selasa lepas.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata pihaknya mengesan perkara itu ketika menjalankan Op Khas Pagar Laut, Op Pluto Timur serta Op Tiris pada 10.20 pagi apabila bot tunda itu bersama sebuah barj berisi kayu balak bergerak dari perairan Kalabakan ke Tanjung Batu Logpond.

“Kru bot iaitu dua lelaki tempatan bersama seorang lelaki Indonesia berumur antara 18 hingga 60 tahun ditahan dan pemeriksaan menyeluruh ke atas dokumentasi bot tunda mendapati seorang daripada kru tersebut tidak mempunyai daftar di dalam lesen dan gagal memaklumkan pertukaran kru itu.

“Kesemua kru bot serta barang rampasan termasuk kayu balak bernilai lebih RM300,000 dibawa ke jeti Zon Maritim Tawau dan kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952-MSO 1952 kerana didapati melanggar syarat sah lesen,“ menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata Zon Maritim Tawau merekodkan 61 kes tangkapan atas pelbagai kesalahan pada tiga bulan pertama 2024 dengan 12 daripadanya direkod semasa Op Khas Pagar Laut dilancarkan.

Shahrizan berkata orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai salah laku jenayah di perairan Tawau diminta segera menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim di talian 089-752116 atau MERS 999.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image