BMW Motorrad Malaysia telah melancarkan model baru S1000RR, R1250R dan R1250RS di litar lumba Sepang pada hari Sabtu.
S1000RR yang baru tersebut adalah generasi ketiga “lagenda litar lumba”, yang mana komponen enjin dan suspensinya telah melalui proses pembangunan yang komprehensif untuk kekal menjadi penanda aras dalam sektor superbike, lengkap dengan reka bentuk serba sporty yang mengagumkan.
Superbike baru ini didatangkan dengan pakej M Sport – tempat duduk ekslusif M Sport, serta lampu brek spesifikasi Malaysia dan rim carbon fibre M – kesemuanya menyerlahkan lagi penampilan sporty-nya.
Enjin empat-silindernya yang terkini berisipadu 999cc, berkuasa maksimum 207hp pada tahap 13,500rpm, dengan kelajuan tertinggi melebihi 200km/j.
Jentera baharu ini juga ber-tork yang lebih tinggi – 113Nm di 11,000rpm. BMW S1000RR juga turut dilengkapi dengan bateri ringan “M” yang bebas penyenggaraan dengan saiz kuasa berjumlah 12V/8Ah.
Bukan itu sahaja, S1000RR didatangkan dengan BMW ShiftCam Technology yang membekalkan variasi pemasaan injap serta lejang injap pada komponen salur masuk.
Dengan ruang salur masuk yang dikemaskini, sistem enjin dan ekzos yang lebih ringan, jumlah berat jentera ini dikurangkan daripada 208kg kepada 193.5kg, lantas meningkatkan prestasi keseluruhannya.
Generasi baharu komponen suspensi elektronik Dynamic Damping Control (DDC) juga merupakan sebahagian daripada motosikal ini. Dibangunkan secara khusus buat BMW S 1000 RR, DDC tidak memerlukan sebarang kompromi dari segi penetapan sistem suspensi.
S1000RR terbaru ini juga didatangkan dengan empat mod tunggangan sebagai standard – “Rain”, “Road”, “Dynamic” dan “Race”. Tambahan lagi, Superbike ini bakal menampilkan “Pro Mode” yang menawarkan tiga lagi mod tunggangan – “Pro 1”, “Pro 2” dan “Pro 3”.
Kesemuanya membolehkan adaptasi tersendiri ke atas fungsi-fungsi kawalan dapat dibuat seperti DTC, ABS Pro dan pengesanan “DTC Wheelie”, termasuk keluk pendikit (pelarasan tork) dan brek enjin.
Launch Control juga disediakan untuk memastikan kenderaan ini dapat dilancarkan dengan sempurna di litar lumba, berserta dengan “Pit Lane Limiter” yang dapat dikonfigurasikan untuk membolehkan kelajuan yang tepat di Pit Lane.
Penukaran gear tinggi dan rendah yang boleh dibuat dengan pantas tanpa klac dibantu oleh HP Shift Assistant Pro, yang juga ditawarkan sebagai standard.
Panel instrumen S1000RR ini turut disuai semula, menampilkan skrin TFT 6.5 inci yang menawarkan tahap kebolehbacaan yang tinggi – walaupun dalam situasi pencahayaan yang kurang sesuai.
Ia dihubungkan dengan “Multi Controller” pada panel bar handle di sebelah kiri dan ia boleh dioperasikan dengan segera, selamat dan mudah. Skrin paparan yang disuaikan secara peribadi juga menawarkan pelbagai kegunaan kepada penunggang.
Skrin “Pure Ride” memaparkan semua informasi yang diperlukan untuk kegunaan lazim di atas jalan raya, manakala tiga skrin “Core” ditujukan untuk digunakan di litar lumba.
Rekaan dinamiknya menampilkan warna-warna BMW M – “Racing Blue”, “Lightwhite” dan “Racing Red” yang menonjolkan DNA perlumbaan BMW M.
Meneroka haluan baru dengan R1250R, R1250RS
Dengan dengan reka bentuk “Style HP”, R1250R memperlihatkan kualiti jentera “roadster” yang lasak bersama kombinasi warna Lightwhite, Racing Blue dan Racing Red.
R1250RS terbaru pula ber-“Style Exclusive” yang menampilkan kemasan yang elegan pada bahagian tubuhnya dalam warna biru “Imperial Blue”.
Lampu LED untuk waktu siang kini ditawarkan sebagai standard bagi kedua-dua jentera ini, yang berenjin “boxer” dua-silinder’ 1,254cc dengan 136hp pada tahap 7,750rpm, serta tork maksima 143Nm pada 6,250rpm.
Kadar penggunaan bahanapinya yang berjumlah 4.75 liter bagi setiap 100km, adalah disebabkan “BMW ShiftCam Technology” digunakan buat pertama kali, untuk variasi pemasaan injap serta lejang injap salur masuk.
Di samping itu, camshaft intake (injap masuk) kedua-dua model juga direka semula untuk menzahirkan proses pembakaran yang lebih efektif, dan perubahan teknikal seperti pembekalan minyak yang dioptimumkan, injap injeksi dwijet serta sistem ekzos baharu membezakan jentera-jentera ini daripada model yang terdahulu.
Kedua-dua motosikal berkenaan dilengkapi dua mod tunggangan sebagai standard untuk pilihan penunggang menyesuaikan tunggangannya.
Automatic Stability Control yang standard menyediakan tahap keselamatan yang tinggi menerusi fungsi cengkaman yang cemerlang.
Hill Start Control juga merupakan ciri standard, membolehkan jentera ini dihentikan dan menyambung/memulakan perjalanan di bahagian jalan yang curam.
Ciri-ciri lain termasuklah Keyless Ride, “Riding Modes Pro”, mod tunggangan tambahan yang dilengkapi dengan ciri “Dynamic” dan “Dynamic Pro”, serta Kawalan Cengkaman Dinamik (Dynamic Traction Control atau “DTC”) yang membekalkan kadar pecutan yang lebih efisien dan selamat, khususnya Kawalan Brek Dinamik (Dynamic Brake Control) yang menawarkan ciri-ciri keselamatan tambahan ketika membrek dengan mengelakkan pecutan secara tidak sengaja daripada diaktifkan.
Kedua-dua jentera tersebut kini membawakan “Connectivity” sebagai kelengkapan standard – sebuah kluster instrumen multifungsi dengan skrin TFT 6.5-inci berwarna penuh.
Menerusi BMW Motorrad Multi-Controller, penunggang boleh mengguna fungsi kenderaan dan connectivity dengan segera dan mudah.
Harga jualan (on-the-road, tanpa insurans dan waranti terbaru tiga tahun serta program bantuan tepi jalan tiga tahun) ketiga-tiga motosikal terbaru tadi ialah:
S1000RR: RM138,500.
R1250R: RM102,500.
R1250RS: RM106,500.