Your Title

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,862 saman dikeluarkan terhadap warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan trafik sepanjang tahun ini sehingga bulan lepas, namun setakat ini hanya 1,703 daripada saman itu telah diselesaikan mereka.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (gambar) berkata sehubungan itu polis melancarkan Op Saman Tertunggak Warga Asing di Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak sejak minggu lepas.

“Operasi saman tertunggak warga asing ini turut dijalankan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata daripada 4,862 saman berkenaan, 2,720 melibatkan notis saman yang diletakkan di kenderaan manakala selebihnya menerima notis yang diserahkan secara langsung kepada pesalah trafik.

Sementara itu, merujuk kepada perkembangan siasatan ke atas bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan, Ayob berkata siasatan ke atas Loo telah selesai dan kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Seperti sedia maklum, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah penjawat awam,” katanya.

Pada 4 Sept lepas, PDRM menyita dan merampas sebahagian aset hasil penyelewengan 1MDB yang didaftarkan atas nama penasihat undang-undang firma pelaburan itu, merangkumi hartanah, akaun bank, lukisan, beg tangan berjenama mewah dan jam tangan dianggarkan bernilai RM93.2 juta. -Bernama