Your Title

IPOH: Kementerian Digital sedang mengenal pasti cabaran serta masalah dihadapi usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerima guna pendigitalan yang menjadi komponen penting bagi mengukuhkan perniagaan masing-masing.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pihaknya berkeyakinan semua dapatan berhubung maklum balas daripada usahawan PMKS itu akan dapat dikumpulkan dalam tempoh suku pertama tahun ini melalui Jelajah Digital Malaysia yang diwujudkan kementerian.

“Untuk makluman, terdapat 97 peratus perusahaan berorientasikan PMKS di negara ini dan merupakan jumlah yang agak besar namun mengapa hingga kini masih ada (usahawan) yang kurang minat terhadap penggunaan teknologi ini untuk memperkasakan perniagaan mereka.

“Jadi, melalui jelajah ini saya fikir dengan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri akan memudahkan kita mengetahui masalah yang berlaku, selain mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi membantu usahawan PMKS ini,” katanya selepas merasmikan Jelajah Malaysia Digital@Perak di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee, Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee Chuan How, Ahli Parlimen Sungai Siput S. Kesavan serta 100 peserta terdiri dalam kalangan usahawan PMKS di Perak.

Pada 18 Nov lepas, Gobind memaklumkan Kementerian Digital sedang berbincang dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk bekerjasama merangka dasar baharu bagi membantu perusahaan PMKS menerima guna pendigitalan dalam perniagaan mereka.

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata usaha bersepadu sedang dilaksanakan bagi mempercepat pelaksanaan projek MyDigital ID serta rangkaian 5G kedua yang masih tertangguh sehingga kini.

Beliau berkata pihaknya mengakui terdapat sedikit kekangan dalam pelaksanaan kedua-dua inisiatif digital berkenaan kerana melibatkan banyak pihak termasuk kementerian.

“Kita sedang fokus kepada kedua-dua inisiatif berkenaan. Kita akan buat yang terbaik dan pastikan keputusan berhubung isu ini dapat dicapai melalui Mesyuarat Majlis Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) pada 12 Feb ini,” katanya.

Pada 5 Dis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kesal dengan kelewatan pelaksanaan dua inisiatif digital negara iaitu MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua ekoran rundingan untuk projek itu tidak mendapat respons positif Digital Nasional Bhd (DNB) serta syarikat telekomunikasi.