KOTA BHARU: Seorang ibu sedang berpantang bersyukur dapat segera dipindahkan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok selepas kawasan rumahnya di Kampung Dusun Durian Bekelam, di sini dinaiki air awal pagi tadi.

Rusila Akma Rosli, 32, yang bersalin secara pembedahan 19 hari lepas berkata beliau agak panik kerana bimbang paras air akan bertambah dan pasti menyukarkan dirinya untuk meredah air dalam keadaan yang belum sembuh.

“Sejak awal malam tadi hujan berterusan turun. Saya tidak dapat tidur lena kerana bimbang banjir akan berlaku. Dalam 7 pagi mak beritahu air di halaman rumah sudah cecah dua kaki lebih.

“Saya agak panik dan menyuruh mak segera hubungi bomba untuk pindahkan kami sekeluarga. Syukur, bomba cepat datang dan membawa kami ke pusat pemindahan,“ katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, setiap tahun kawasan sekitar kampung yang didiami itu akan dinaiki air namun tahun ini paras air naik agak cepat berbanding sebelum ini.

Sementara itu Ketua BBP Bachok Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata pihaknya menerima dua panggilan untuk menyelamat mangsa banjir awal pagi tadi.

Katanya panggilan pertama pada 6.04 pagi dari Kampung Anak Tembesu membabitkan lima mangsa iaitu dua perempuan dewasa, seorang remaja dan seorang kanak-kanak perempuan selain seorang kanak-kanak lelaki.

“Sepasukan sembilan anggota ditugaskan bergegas ke lokasi bagi melakukan operasi memindahkan mangsa. Setibanya di lokasi kami dapati kediaman mereka digenangi air kira-kira 0.2 meter, walaupun air masih cetek, mereka mungkin panik dengan keadaan itu lalu menghubungi kami untuk berpindah awal,“ katanya.

Katanya semua mangsa berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor kira-kira 6.50 pagi.

Ahmad Ridhuan berkata panggilan kedua diterima pada 7.20 pagi membabitkan tujuh orang mangsa daripada sebuah keluarga di Kampung Dusun Durian Bekelam yang kawasan kediamannya telah digenangi air sedalam 0.3 meter.

Katanya mangsa terdiri daripada dua wanita dewasa, dua lelaki dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang bayi lelaki berusia 19 hari itu berjaya dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat kira-kira 9 pagi tadi. -Bernama