MARAN: Jalan Persekutuan FT64 Jalan Jerantut - Maran di sini ditutup kepada semua kenderaan di beberapa lokasi akibat dinaiki air, kata Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman.
Laluan terlibat ialah Seksyen 126.4 iaitu di Kampung Jara melibatkan penutupan sepanjang 300 meter (m), Seksyen 125.1 laluan ke Kuil Marathandavar sepanjang 150 m dan Seksyen 121.2 berhampiran simpang Liyana Tomyam sepanjang 200 m.
“Pengguna boleh menggunakan laluan Jalan Bukit Tajau - Bandar Pusat Jengka atau menggunakan laluan utama Temerloh - Maran kerana buat masa ini tiada laluan di Jalan Kuantan - Maran ditutup,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Norzamri ditemui semasa meninjau operasi Pusat Pemindahan Tetap (PPT) Kampung Luit di sini hari ini, yang mula beroperasi semalam bagi menempatkan 162 mangsa banjir daripada 39 keluarga ekoran hujan lebat berterusan sejak semalam.
Beliau juga menasihati mangsa banjir untuk mematuhi arahan berpindah dan menunggu sehingga kelulusan pulang diberikan supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini.
“Kita juga telah menggerakkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) untuk membuat pemantauan di lokasi banjir bagi tujuan keselamatan,“ katanya.
Norzamri berkata situasi banjir di Maran lebih baik setakat tengah hari tadi dengan trend air menurun, namun semua pihak masih berada dalam keadaan waspada.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Maran dalam kenyataan dimuat naik menerusi laman Facebook memaklumkan turut ditutup kepada semua jenis kenderaan ialah Jalan Negeri C133 Jalan Serengkam dengan laluan alternatif ialah menggunakan Jalan Lubuk Paku. -Bernama