KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 agensi perisikan pertahanan ASEAN menyertai Persidangan Ketua Perisikan Pertahanan ke-2 dan Mesyuarat Perisikan Pertahanan ASEAN ke-22 yang berlangsung di ibu negara.
Persidangan dua hari itu mengukuhkan komitmen ASEAN dalam membina ekosistem risikan kolektif yang lebih responsif, telus dan berdaya tahan.
Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO Left Jen Datuk Mohd Razali Alias berkata penganjuran oleh Malaysia menegaskan peranan negara sebagai rakan strategik dan pemaju diplomasi pertahanan serantau.
“Sidang ini bukan sekadar memperkukuh keupayaan risikan kolektif ASEAN tetapi juga membina asas diplomasi perisikan pertahanan yang mampu menjamin kestabilan, kepercayaan dan keamanan rantau,” katanya.
Beliau berkata AMICLC 2 menyediakan ruang dialog strategik berprofil tinggi antara pemimpin perisikan pertahanan ASEAN membincangkan isu keselamatan serantau.
AMIM 22 menjadi mekanisme teknikal yang menyelaras perkongsian maklumat risikan, penilaian ancaman bersama dan koordinasi tindak balas terhadap cabaran keselamatan bersifat rentas sempadan.
Platform ini memperkukuh profesionalisme perisikan melalui latihan bersama, pertukaran kepakaran dan pembangunan rangkaian komunikasi yang selamat. – Bernama