• 2025-09-08 07:01 PM

OSAKA: Reformasi dalam perkhidmatan awam di Malaysia telah menjadi pemangkin utama kepada peningkatan daya saing negara di persada antarabangsa serta meningkatkan keyakinan pelabur, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata Malaysia telah melonjak 11 anak tangga dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025, daripada kedudukan ke-34 ke tempat ke-23, didorong oleh peningkatan dalam tadbir urus dan kecekapan pentadbiran kerajaan.

Shamsul Azri yang juga pengerusi Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) berkata inisiatif berkenaan telah menyelaras 166 proses, sekali gus menjimatkan jutaan ringgit dalam perbelanjaan kerajaan serta memendekkan masa dan kos bagi pihak perniagaan dan pelabur.

Beliau menekankan Deklarasi Kuala Lumpur - Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia yang ditandatangani pada Oktober lepas oleh semua pentadbiran kerajaan negeri merupakan satu komitmen penting yang memastikan kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan bergerak seiring dalam usaha mentransformasikan perkhidmatan awam.

“Menerusi deklarasi ini, mereka telah menyatakan komitmen bahawa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan juga akan bersama-sama dengan kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan transformasi perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kebangsaan di Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka di sini.

Selain itu, beliau berkata Rang Undang-Undang Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang baru diluluskan merupakan satu ikrar kerajaan untuk terus mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan komuniti perniagaan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Sementara itu, Pengarah Pavilion Malaysia Ellyza Mastura Ahmad Hanipiah berkata Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka telah melebihi sasaran sebanyak RM13 bilion dalam potensi perdagangan dan pelaburan, dengan pencapaian lebih 120 peratus setakat ini.

“Kita masih ada beberapa minggu lagi menerusi penyertaan daripada pelbagai kementerian dan negeri. Kita jangkakan angka ini meningkat dan diharapkan menjelang penutupan Pavilion Malaysia pada 13 Okt, kita dapat mencapai sekurang-kurangnya 150 peratus,” katanya.

Beliau berkata pavilion berkenaan bukan sahaja berperanan sebagai platform diplomasi secara halus, tetapi juga sebagai pusat perniagaan dengan aktiviti mingguan melibatkan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam pelbagai sektor khususnya tenaga boleh baharu, elektrik dan elektronik canggih dengan tumpuan pada semikonduktor, logistik halal, bioteknologi, perkhidmatan digital serta pendidikan tinggi.

Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany berkata penekanan Malaysia terhadap diplomasi budaya jelas terpancar pada Ekspo 2025 Osaka melalui persembahan yang meriah dan interaksi antara rakyat

Beliau berkata perarakan Hari Kebangsaan yang meriah serta persembahan di Dewan Hari Kebangsaan ekspo itu mencerminkan keunikan warisan Malaysia, daripada tarian budaya dan kontemporari hingga kepada sajian makanan yang menonjolkan semangat keterangkuman.

“Penyertaan Malaysia bukan sekadar melibatkan politik, perdagangan dan industri, tetapi juga tentang membina hubungan antara rakyat. Pada akhirnya, yang utamanya ialah mengetengahkan yang terbaik daripada apa yang Malaysia boleh tawarkan dari segi daya tahan rakyatnya dan kemampuan mereka mengharungi cabaran masa depan,” katanya.

Ekspo 2025 Osaka berlangsung selama enam bulan, bermula dari 13 April hingga 13 Okt di pulau buatan manusia Yumeshima, Osaka.

Bertemakan “Designing Future Society for Our Lives”, ekspo berkenaan menampilkan pelbagai idea inovatif, teknologi terkini serta pelbagai pameran dan acara yang menarik- BERNAMA