• 2025-06-26 04:51 PM

JOHOR BAHRU: Seramai 101 sesi libat urus telah diadakan setakat ini dalam proses merangka Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB), menjadikannya antara proses penggubalan akta paling menyeluruh dengan jumlah sesi tertinggi dalam sejarah Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, sesi libat urus ini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemaju hartanah, persatuan pembeli rumah, aktivis masyarakat, ahli akademik, Ahli Parlimen, dan parti politik.

“Belum pernah ada kementerian buat 101 kali sesi libat urus. Kita berpegang kepada prinsip tiada yang tertinggal, tiada yang tersisih.

“Semua pihak kita libatkan kerana kita tidak mahu bandar-bandar kita menjadi kawasan setinggan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Kebangsaan 2025 di Johor Bahru hari ini.

Nga menegaskan bahawa akta ini merupakan langkah penting untuk memodenkan kawasan bandar yang sudah usang supaya lebih mampan dan sesuai dengan keperluan semasa.

Akta PSB yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang bakal menjadi pemacu utama pembangunan semula bandar secara terancang dan menyeluruh.

Ketika ini, pelaksanaan PSB bergantung pada Akta Hakmilik Strata 1985, yang mensyaratkan resolusi sebulat suara daripada pemilik sebelum badan pengurusan boleh mengambil alih sebagai pemegang amanah.

Melalui akta baharu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan nilai ambang persetujuan berdasarkan usia bangunan:

- 75% bagi bangunan berusia lebih 30 tahun

- 80% untuk bangunan kurang 30 tahun

- 51% bagi bangunan usang atau tidak selamat