MAKKAH: Seorang jemaah wanita dilaporkan meninggal dunia di klinik Kecemasan Bangunan Abraj Al Janadriyah di sini pada 9 Jun lepas akibat serangan jantung.
Allahyarham Jamaliah Masron, 68, dari Kota Tinggi, Johor, menghembuskan nafas terakhir pada 6.05 petang waktu tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata jumlah keseluruhan kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci bagi musim Haji 1446H/2025M setakat ini ialah 11 orang.
“Pada masa sama, kerajaan Malaysia dan Lembaga Tabung Haji (TH) dukacita dengan berita itu. Pihak TH telah menguruskan segala keperluan berkaitan pengurusan jenazah termasuk mandi, solat jenazah di Masjidil Haram dan pengebumian di Tanah Suci Makkah,“ katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata pihak pengurusan TH juga telah memaklumkan perkara berkenaan kepada waris Allahyarham di Malaysia.
“Kami ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarhamah dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,“ tambahnya.
Setakat ini, 10 kes jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Makkah disahkan berpunca daripada serangan jantung, manakala seorang lagi disebabkan jangkitan kuman dan kegagalan organ.