PASIR MAS: Sebanyak 110 panggilan kecemasan palsu mengenai banjir diterima Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas sejak gelombang pertama Monsun Timur Laut bermula pada 27 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed berkata tindakan itu adalah sangat tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan operasi pasukan penyelamat.

“Bukan mudah untuk pasukan penyelamat tiba di lokasi yang dilaporkan kerana ada kawasan yang memerlukan kekuatan anggota yang ramai kerana perlu mengangkat bot yang berat.

“Yang mengecewakan apabila tiba di lokasi yang dilaporkan tiada sesiapa di situ. Ini pasti memenatkan anggota selain membuang masa,” katanya ketika ditemui pemberita di Pondok Polis Repek, di sini, hari ini.

Beliau berkata perbuatan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pihak kerana boleh menyebabkan mangsa yang sebenar lambat diselamatkan.

Menurutnya, pasukan polis dan agensi penyelamat yang lain turut menerima makian daripada orang ramai kerana dikatakan lambat sampai ke lokasi tanpa mengetahui keadaan sebenar.

Sementara itu, Kama Azural menasihatkan penduduk yang tinggal di tebing Sungai Golok agar mematuhi arahan berpindah kerana bimbang banjir gelombang kedua akan lebih buruk.

“Usahlah gunakan alasan “sudah biasa” dengan banjir kerana setiap kali banjir situasinya tidak sama. Jangan pula apabila sudah terdesak dan air sudah rapat ke siling rumah baru hendak meminta bantuan,” katanya.