• 2025-09-13 10:24 AM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11,984 notis amaran telah dikeluarkan oleh Polis Kuala Lumpur sepanjang fasa advokasi Operasi Patuh Undang-Undang (Op PUU) terhadap pengguna jalan raya sejak 6 September lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus menyatakan operasi itu memberi penekanan terhadap kesalahan-kesalahan kecil peraturan jalan raya yang sering dilakukan oleh orang ramai.

“Pematuhan undang-undang kecil ini penting kerana ia mencerminkan etika dan disiplin masyarakat selain peraturan itu digubal untuk kebaikan bersama.”

“Saya akan meneruskan fasa advokasi sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak, sebelum tindakan saman serta-merta dikenakan terhadap mana-mana pesalah lalu lintas di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media sempena Op PUU.

Beliau berkata antara kesalahan yang menjadi tumpuan utama termasuk pejalan kaki tidak menggunakan jejantas atau lintasan belang, gagal mematuhi isyarat lalu lintas, dan menyebabkan halangan lalu lintas.

Kesalahan pemandu berhenti melepasi garisan putih di persimpangan lampu isyarat turut menjadi fokus operasi.

Penunggang motosikal tidak memakai topi keledar serta menggunakan ekzos diubah suai juga antara sasaran utama.

Kawasan operasi ketika ini melibatkan kawasan tumpuan dalam pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Operasi akan diperluas ke kawasan IPD lain di Kuala Lumpur selepas ini.

Polis Kuala Lumpur menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan.

Orang ramai diseru memberi kerjasama penuh demi kelancaran lalu lintas serta keselamatan bersama.

Operasi itu dibantu oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Jabatan Pengangkutan Jalan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Alam Sekitar.

Dalam operasi di sekitar kawasan Bukit Bintang, Fadil turut berkesempatan menyampaikan nasihat kepada beberapa pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lalu lintas. – Bernama