IPOH: Aktiviti perlombongan bijih timah yang masih beroperasi di 13 lokasi di negeri Perak, berada di bawah kawalan baik dan bebas dari implikasi negatif terhadap alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata menurut rekod Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), pada masa ini kesemua lombong bijih timah berkenaan telah diberikan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM).

“Untuk daerah Mualim, Larut Matang dan Kuala Kangsar, masing-masing mempunyai satu lombong sementara daerah Kampar dan Perak Tengah, masing-masing mempunyai dua lombong. Daerah Kinta dan Hulu Perak pula masing-masing memiliki tiga lombong,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ong Seng Guan (PH-Pokok Assam), yang ingin tahu jumlah lombong bijih timah yang masih beroperasi di seluruh Perak dan lokasinya, dan adakah kerajaan negeri menerima sebarang aduan mengenai sebarang implikasi negatif kepada alam sekitar tapak tersebut.

Teh (PH-Aulong) berkata sehingga bulan lepas, JMG hanya mencatatkan dua aduan iaitu di daerah Kinta dan Hulu Perak, dan angka yang rendah menandakan bahawa aktiviti perlombongan bijih timah di negeri ini pada umumnya berada di bawah kawalan yang baik.

“Menggunakan kes aduan di Hulu Perak sebagai contoh, apabila menerima aduan, jabatan akan segera melakukan pemeriksaan di lokasi yang dilaporkan, dan seterusnya ke tapak aktiviti perlombongan berdekatan untuk menentukan punca sebenar aduan.

“Seterusnya, jabatan mengambil sampel efluen lombong dan sampel air sungai di lokasi aduan bagi menentukan kualiti efluen lombong yang dilepaskan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata JMG turut mengadakan pemantauan kualiti air Sungai Rui, Sungai Kuak, Sungai Endah, Sungai Kijang dan Sungai Kepayang, serta efluen lombong bijih timah aktif di Hulu Perak secara berkala melalui kaedah pensampelan air dan analisa makmal.

Teh berkata JMG akan mengeluarkan arahan pemberhentian kerja sementara dan mengarahkan pelombong untuk melaksanakan kerja mitigasi, sekiranya aduan diterima berasas.

Sementara itu, menjawab soalan Mohamad Amin Roslan (PN-Pengkalan Hulu), yang ingin mengetahui prosedur operasi standard atau mekanisme yang dilaksanakan dalam mengekang kesan kepada ekosistem sekitar, Teh berkata operasi perlombongan dikawal selia oleh JMG berlandaskan peruntukan kuasa di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994.

Beliau berkata selain mengeluarkan SKSPM yang dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal Skim Pengendalian Melombong, JMG turut menjalankan pemeriksaan secara berkala dalam memastikan lombong beroperasi dengan teratur dan mematuhinya.

“JMG juga melaksanakan projek pembangunan bagi memantau aktiviti perlombongan dalam negeri ini seperti Projek Indikator Pembangunan Mampan (SDI) menetapkan tahap kemampanan industri perlombongan dan pengkuarian,” katanya.

Teh berkata Projek Pembangunan Sistem Pemantauan Bersepadu Lombong dan Kuari (MiQIMS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk tempoh 2021-2023 turut dilaksanakan, supaya pemantauan pencemaran dari lombong dan kuari dapat dijalankan berterusan, dan datanya dihantar secara masa nyata ke pangkalan data dan bertindak sebagai sistem amaran awal pencemaran.

Beliau berkata dua buah stesen pemantauan kualiti efluen telah dibangunkan pada tahun 2022 dan 2023 di kawasan perlombongan timah aktif di Pengkalan Hulu, bagi memastikan pematuhan di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016.–Bernama