Your Title

MELAKA: Sebanyak 147 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuang kerja pada tahun lepas, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad.

Beliau berkata kebanyakan dalam kalangan mereka terbabit dengan isu narkotik dan telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

“Kebanyakannya apabila saringan pertama air kencing positif, sampel kedua dihantar kepada patologis hospital dan mengesahkan positif, baharu kita tuduh di mahkamah.

“Keputusan perbicaraan itu, apabila sabit (kesalahan) tindakannya adalah buang kerja,“ katanya kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah kepada pemangkunya Datuk Md Nazri Zawawi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini.

Pada majlis itu turut berlangsung serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) antara Datin Sabariah Hashim dan Datin Shahida Salleh.

Azri berkata PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggotanya yang terlibat dengan salah laku kerana pasukan itu merupakan pelindung kepada masyarakat.

“Jangkaan daripada masyarakat tinggi (terhadap PDRM) dan kami pula, kita berusaha (untuk kekalkan disiplin pegawai dan anggota)... yang tidak sesuai berada dalam PDRM, kami akan singkirkan,“ katanya.