KUALA LUMPUR: Sebanyak 153 akaun berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah dibekukan membabitkan wang berjumlah RM882,795.94 setakat ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Razarudin berkata selain itu, sebanyak 38 motokar pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM3.94 juta dan 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan turut disita.
Tindakan pembekuan dilakukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) dan penyitaan di bawah Seksyen 45(2) akta sama.
“Sebanyak 26 ekor haiwan terdiri daripada sembilan ekor kuda, 14 ekor arnab dan tiga ekor burung merak, serta wang tunai RM18,650 dan dua jam tangan bernilai RM600 juga dirampas,“ katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Pada masa yang sama, Razarudin turut menafikan tanggapan negatif segelintir pihak yang mengatakan polis mengabaikan haiwan yang dirampas, sebaliknya Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta pihak berkuasa tempatan telah bekerjasama bagi memeriksa serta menjaga haiwan-haiwan berkenaan.
Dalam pada itu, Razaruddin berkata polis menyiasat kemungkinan 572 kanak-kanak yang diselamatkan ketika Op Global dan ketika ini ditempatkan di 11 rumah selamat disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), belum dituntut ibu bapa mereka kerana tidak mahu penipuan yang mengatakan mangsa ialah anak yatim, terbongkar.
Siasatan, katanya boleh dilakukan mengikut Akta 420 Kanun Keseksaan kerana ahli syarikat ini mendakwa anak-anak itu ialah anak yatim dan menerima bantuan bagi pihak mereka.
“Mereka tak akan cakap ini anak mereka, mereka akan dakwa ini anak yatim kerana ada antara mereka berbin dan berbinti Abdullah. Ini mungkin satu penipuan untuk mendapatkan sumbangan dan sumbangan ini digunakan dengan cara lain,“ katanya.
Razaruddin berkata ada juga dalam kalangan kanak-kanak itu telah diajar untuk mengatakan tidak mengenali ibu bapa kandung mereka.
“Ada juga ahli yang berkahwin empat dan mempunyai sebanyak 34 anak, namun hanya dua orang yang tinggal dengan mereka. Kalau kita tanya nama 32 nama anak yang lain pun mungkin dia tidak tahu,“ katanya.
Mengulas mengenai Op Global fasa empat yang dilancarkan pada 21 Sept lepas, sebanyak 35 kertas siasatan dibuka dan 156 individu telah direman hingga 28 Sept ini melibatkan 80 lelaki dan 76 wanita berumur antara 18 hingga lebih 65 tahun.
Beliau berkata kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kanak-Kanak 2021, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Selain itu, katanya polis turut membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan kepada Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
“Sebanyak 187 mangsa berjaya diselamatkan pada fasa berkenaan terdiri daripada 100 lelaki dan 87 wanita termasuk 13 individu yang berusia lebih 18 tahun,“ katanya.
Razarudin berkata turut diselamatkan seorang kanak-kanak di sebuah rumah amal berkaitan dengan GISBH di Tapah, Perak dipercayai menjadi mangsa penderaan yang videonya dipijak tular melalui media sosial.