• 2025-09-21 06:17 PM

KOTA BHARU: Jeti di pangkalan haram sepanjang sempadan Kelantan-Thailand yang dibina di atas tanah kerajaan akan mula dirobohkan pada Oktober ini sebagai langkah membanteras jenayah rentas sempadan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata penduduk di kawasan terlibat telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan menerima tindakan berkenaan selepas kerajaan mengisytiharkan penutupan pangkalan haram sejak Disember tahun lepas.

Sebanyak 153 daripada 212 pangkalan haram dikenal pasti dibina di atas tanah kerajaan akan diroboh manakala selebihnya yang terletak di tanah persendirian akan diteliti pihak berkuasa tempatan.

Kerja pemasangan notis peringatan sedang dilaksanakan dan setakat ini tiada bantahan diterima daripada penduduk di daerah Tumpat dan Pasir Mas.

Beliau berkata walaupun pemasangan notis di tanah milik kerajaan tidak diwajibkan, langkah itu diambil sebagai peringatan agar penduduk tidak terbabit dengan sebarang aktiviti jenayah.

Operasi perobohan itu akan diketuai Pejabat Tanah dan Jajahan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk polis bagi memastikan kelancaran dan mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Dua daripada 12 Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am yang dibina Jabatan Pengairan dan Saliran di bawah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 1 telah diserahkan secara rasmi kepada Polis Diraja Malaysia pada 7 September lepas.

Pos baharu ini lebih selesa dan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk rakaman kamera litar tertutup serta pagar keselamatan manakala baki 10 pos lagi akan diserahkan secara berperingkat.

Beliau menegaskan isu sempadan bukan sahaja membabitkan aspek keselamatan tetapi juga kedaulatan negara memandangkan Kelantan menjadi pintu masuk utama yang berisiko tinggi terhadap aktiviti penyeludupan termasuk dadah, senjata api dan pendatang tanpa izin. – Bernama