BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman terhadap 17 bas ekspres dan bas persiaran yang didapati tidak menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau perjalanan selama empat jam secara berterusan dalam satu operasi awal pagi ini.

Dalam hantaran di Facebook, JPJ Pulau Pinang memaklumkan operasi khas yang menyasarkan bas ekspres dan bas persiaran itu berlangsung selama empat jam bermula tengah malam tadi di Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua, dekat sini.

“Tujuan penguatkuasaan itu bagi memastikan semua kenderaan perkhidmatan awam terutamanya bas ekspres mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan,“ menurut hantaran itu.

Sementara itu dalam operasi berasingan JPJ Pulau Pinang menyita 23 motosikal dan dua kereta yang didapati dipandu warga asing dalam Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) di Jalan Permatang Pauh - Mak Mandin, dekat sini semalam.

Kenderaan itu didapati dipandu warga Pakistan, Rohingya, Bangladesh, Myanmar serta lndonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen sah untuk membolehkan memandu kenderaan dalam negara, khususnya lesen memandu.

“Dalam operasi itu 71 saman turut dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan jalan raya, dengan tiada lesen memandu antara kesalahan tertinggi dikesan, diikuti lesen kenderaan motor tamat tempoh serta tiada perlindungan insuran,“ menurut hantaran itu.