Your Title

SHAH ALAM: Polis menahan 17 warga asing termasuk seorang kanak-kanak dipercayai cuba untuk keluar dari Malaysia secara haram di Pantai Tanjong Rhu, Pulau Carey dekat sini pada 3 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata penahanan kesemua suspek berumur antara tujuh hingga 51 tahun itu dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Pos Pulau Carey ketika mereka sedang berkumpul dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata mereka yang terdiri daripada 11 lelaki, lima wanita bersama seorang kanak-kanak perempuan itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri ketika diperiksa.

“Ketika disoal siasat, kesemua pendatang asing tanpa izin itu mengaku ingin keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dan kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Sufian berkata kesemua suspek direman selama 14 hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan jika disabit bersalah boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.