KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh bertindak nekad dengan bergayut di jeriji balkoni rumahnya di tingkat 10 sebuah pangsapuri di Segambut ketika cuba melarikan diri ketika serbuan oleh Jabatan Imigresen Kuala Lumpur (JIMKL) di sini awal pagi tadi.
Lelaki berumur 40an itu bagaimanapun berjaya ditarik ke lokasi selamat oleh anggota Imigresen yang melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan sebelum ditahan kerana dokumen perjalanannya telah tamat tempoh serta tidak mempunyai pas pekerja.
Dia merupakan antara 18 pendatang tanpa izin termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang ditahan dalam serbuan di pangsapuri itu dan ketika ditanya pemberita kenapa bertindak sedemikian, lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci bangunan itu berkata dia tidak mahu ditahan kerana ingin terus bekerja di sini.
Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata mereka yang ditahan berumur antara dua tahun hingga ke 60 tahun melibatkan enam warga Bangladesh, lima termasuk kanak-kanak lelaki dari Indonesia, Sri Lanka (3), Filipina (2) serta Pakistan dan Myanmar masing-masing seorang.
Beliau berkata seramai 104 individu diperiksa dalam operasi yang bermula 12 tengah malam dan berakhir 3 pagi tadi.
“Semua yang ditahan dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur bagi tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil,“ katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.
Sementara itu, seorang wakil penduduk yang ingin dikenali sebagai Steve berkata sejak 2019, jumlah warga asing yang mendiami pangsapuri berkenaan semakin ramai sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk tempatan kerana mereka sering menimbulkan pelbagai masalah.
“Mereka ini selalu buat bising waktu malam, lebih-lebih lagi masa cuti, ada juga lelaki warga asing ini minum minuman keras di kolam renang di sini yang membuatkan kita tidak selesa untuk bawa anak-anak keluar,“ katanya.