KANGAR: Sebanyak 1,810 rumah di Perlis akan terlibat dalam Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6) 2024 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi agensinya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Sehubungan itu, kerajaan negeri menyeru penduduk agar memberikan kerjasama kepada penemu bual yang berada di lapangan agar objektif kajian itu dapat dicapai dengan data yang tepat, terkini dan komprehensif tentang penduduk dan kehidupan keluarga.

“Sebanyak 37,550 tempat kediaman akan dilawati sepanjang tempoh (KPKM-6) itu di seluruh negara termasuk 1,810 tempat kediaman di negeri Perlis.

“Maklumat yang dijana oleh kajian ini mampu menjadi input penting kepada pihak kerajaan negeri untuk pembentukan dasar, program dan aktiviti yang lebih responsif dan bertepatan dengan keperluan rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran semua,” kata Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Penyelidikan Kependudukan dan Keluarga LPPKN Adzmel Mahmud dan Pengarah LPPKN Perlis Naemah Ibrahim.

Mohd Shukri berkata KPKM-6 2024 yang bermula 15 Julai hingga 31 Dis itu bertujuan menyediakan data terkini dan siri masa berkaitan kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif serta sosioekonomi penduduk negara ini.

Menteri Besar Perlis itu berkata ia sebagai input dan statistik berasaskan bukti kepada pihak kerajaan dalam pembangunan dasar, inisiatif dan program di negara ini pada masa akan datang selaras slogan KPKM-6 “Suara Keluarga, Masa Depan Negara”.

“Antara soalan yang bakal diajukan kepada para responden adalah seperti latar belakang keluarga, pekerjaan dan pendapatan, perkahwinan, kesuburan, perancang keluarga, hubungan keluarga, sosial dan seksual remaja, bantuan kepada warga emas, pembujangan, kesihatan mental, kesunyian dan sokongan sosial,” katanya.