KUALA LUMPUR: Kira-kira 20 gerai di Uptown Kota Damansara, Petaling Jaya terlibat dalam kebakaran malam ini.
Jurucakap Jabatan Bomba Penyelamat Selangor ketika dihubungi berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.34 malam ini dan tiba di lokasi kejadian pada 8.43 malam.
Beliau berkata sebaik tiba di lokasi kejadian deretan gerai itu telah terbakar 90 peratus, selain terdapat bangunan yang menempatkan gimnasium turut terbakar 50 peratus.
“Kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan kerja-kerja pemadaman sedang dilakukan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Kota Anggerik dan BBP Damansara, “ katanya ketika dihubungi Bernama malam ini. - Bernama