IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 21 kenderaan berat dikesan gagal mematuhi arahan Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan sempena Aidilfitri yang dikuatkuasakan semalam.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata operasi yang dilaksanakan serentak seluruh negara itu menyaksikan 62 kenderaan berat gagal mematuhi larangan.
Beliau berkata JPJ melakukan pemantauan terhadap kenderaan barangan selaras dengan peraturan yang diumumkan Kementerian Pengakutan (MOT) sebelum ini.
“Kita telah keluarkan 41 notis saman manakala 21 kenderaan lagi telah kita ambil tindakan sita selaras dengan undang-undang diperuntukkan mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.”
“Sekiranya pemilik atau pemandu gagal mematuhi Kaedah 2(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan) 2025 akan dikompaun RM300 atau denda di mahkamah tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Operasi Pemantauan dan Pemeriksaan Bas Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Terminal Terminal Amanjaya di sini, malam tadi.
Hadir sama Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata larangan kenderaan berat itu berkuat kuasa selama empat hari iaitu pada 29 dan 30 Mac, sebelum Hari Raya serta 5 dan 6 April (selepas perayaan).
Aedy Fadly berkata JPJ telah mengeluarkan 32,031 notis saman dalam tempoh enam hari pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 bermula 24 Mac lepas.
“Kita telah memeriksa 122,655 kenderaan sepanjang operasi tersebut dijalankan dengan 15,217 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana kenderaan dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-kaedah yang termaktub di bawahnya,“ katanya.