• 2025-08-09 10:35 AM

PUTRAJAYA: Seramai 21 warga asing ditolak kemasukan ke Malaysia manakala seorang lagi ditahan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 selepas cubaan kemasukan dan keluar secara tidak sah dikesan.

Menurut AKPS, tiga modus operandi berbeza digunakan oleh individu terlibat dalam kes ini.

Enam warga Kemboja termasuk seorang pembawa didapati tidak mempunyai dokumen sokongan untuk mendapatkan suaka politik.

Tiga warga Indonesia pula disyaki menyalahgunakan visa kemasukan tunggal 90 hari tanpa bukti tempahan penginapan atau tiket pulang.

Seorang warga China ditahan kerana menggunakan pasport dengan endorsmen mencurigakan bagi tempoh Disember 2024 hingga Ogos 2025.

Siasatan awal mendapati individu itu memperoleh cap keluar-masuk secara tidak sah menggunakan kaedah ‘flying’.

AKPS turut menggagalkan kemasukan tujuh warga India dan lima warga Pakistan yang cuba melepasi pemeriksaan imigresen tanpa prosedur sah.

Kesemua individu terlibat dikenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) dan dihantar pulang ke negara asal.

AKPS menegaskan komitmen mereka dalam memelihara integriti kawalan sempadan negara.

Tindakan tegas akan terus diambil terhadap sebarang cubaan masuk atau keluar secara tidak sah. - Bernama