• 2025-09-20 04:06 PM

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan seramai 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) kini berada dalam status tidak aktif sama ada telah tamat tempoh atau tidak diperbaharui melebihi tiga tahun.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli menegaskan bahawa memandu menggunakan lesen tidak aktif merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang.

Beliau mengingatkan bahawa tindakan tersebut boleh menimbulkan pelbagai risiko keselamatan kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Setiap individu yang memandu kenderaan motor di atas jalan raya wajib memiliki lesen memandu yang sah dan berkuat kuasa selaras dengan Akta Pengangkutan Jang 1987 (Akta 333).

Pemegang lesen yang masih berhasrat untuk memandu perlu menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03) di mana-mana institut memandu berdekatan.

Proses tersebut diperlukan untuk mendapatkan atau mengaktifkan semula lesen memandu mereka mengikut ketetapan akta yang berkuat kuasa.

Pemegang CDL yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun diseru untuk segera memperbaharui lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau mana-mana kaunter JPJ di seluruh negara.

Tindakan segera itu dapat mengelakkan kewajipan menduduki semula ujian KPP02 dan KPP03 yang lebih rumit. – Bernama