TUARAN: Sebanyak 24 rumah dan sebuah kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Mengkabong di sini semalam. Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Mohammad Nor Amit, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.34 petang sebelum 24 anggota serta pegawai termasuk dari BBP Kota Kinabalu dan Putatan digerakkan ke lokasi. “Operasi kemudian ditamatkan pada 10.38 malam dan punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan,“ jelas Mohammad Nor Amit dalam kenyataan hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tuaran (JPBD) memaklumkan 114 mangsa melibatkan 35 keluarga terjejas akibat kebakaran tersebut. “Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Seri Sulaman pada 7 malam tadi. Anggota APM masih mengumpul maklumat mangsa,“ menurut kenyataan rasmi.
Kejadian ini menimbulkan keresahan penduduk setempat yang kehilangan tempat tinggal. Bantuan awal seperti makanan dan keperluan asas sedang disalurkan kepada mangsa - Bernama