GEORGE TOWN: Polis menjangkakan 2.5 juta kenderaan akan memasuki Pulau Pinang menjelang Aidiladha yang akan disambut Sabtu ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata jumlah itu berdasarkan jangkaan Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik (JSPT) melibatkan kenderaan yang melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) bermula 26 Mei hingga 8 Jun.
“Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding dua juta kenderaan dicatatkan pada Op Selamat pada Aidilfitri lepas.
“Peningkatan ini dipercayai berpunca daripada cuti persekolahan yang berlanjutan hingga sambutan Aidiladha, selain berkemungkinan didorong faktor musim buah-buahan ketika ini di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Justeru itu, beliau berkata JSPT telah melancarkan Op Lancar bermula 31 Mei hingga 8 Jun ini bagi memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang tempoh terbabit.
Hamzah berkata pihaknya turut menugaskan anggota secukupnya untuk melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko kesesakan dan kemalangan.
Beliau berkata polis telah mengenal pasti beberapa lokasi kerap berlaku kemalangan di negeri ini yang akan diberikan penumpuan kawalan trafik seperti Jambatan Pulau Pinang, Jalan Masjid Negeri, Lebuhraya Dr Lim Chong Eu serta kawasan di Seberang Perai Tengah.
Sehubungan dengan itu, Hamzah menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi menjamin keselamatan sepanjang perjalanan.