• 2025-08-03 09:31 PM

SYDNEY: Ribuan penunjuk perasaan pro-Palestin membanjiri Jambatan Sydney Harbour pada Ahad bagi membantah operasi ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza serta mengetengahkan keadaan di wilayah yang dilanda konflik itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Polis menganggarkan kira-kira 25,000 peserta menyeberangi jambatan ikonik itu dalam keadaan hujan lebat dan angin kencang, menurut agensi berita Australian Associated Press (AAP).

Ahli politik Australia, kebanyakannya daripada Parti Buruh yang memerintah, turut serta dalam perarakan itu. Pengasas WikiLeaks Julian Assange turut menyertai bantahan berkenaan.

Polis sebelum itu telah memberi amaran bahawa mereka akan mengambil tindakan terhadap sebarang tanda-tanda keganasan.

Ketua Menteri New South Wales Chris Minns - negeri di mana Sydney terletak - sebelum ini menentang penganjuran perarakan berkenaan kerana bimbang bandar terbesar Australia itu boleh menjadi huru-hara.

Bekas Menteri Luar Bob Carr yang menyertai perarakan itu berkata rakyat Australia “mahu sekatan kemanusiaan kerajaan Netanyahu dihentikan, kebuluran dan pembunuhan ditamatkan.”

Menurut pihak berkuasa kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza, lebih 60,000 orang telah terbunuh - kebanyakannya dalam operasi ketenteraan Israel pada Oktober 2023 - BERNAMA-dpa