• 2025-07-15 10:11 PM

MELAKA: Polis merampas 300 tan jongkong aluminium hasil aktiviti peleraian dan peleburan barangan elektronik terpakai (e-sisa) dalam serbuan di sebuah kilang haram di kawasan perindustrian Bukit Rambai di sini hari ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata nilai awal keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM2.1 juta, jumlah terbesar melibatkan e-sisa di Melaka setakat ini.

Serbuan pada kira-kira 11 pagi itu susulan pemantauan selama seminggu melibatkan polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Melaka.

“Barangan e-sisa itu dibawa masuk dari luar negara untuk dilerai dan diproses sebelum dieksport semula dipercayai ke China serta negara lain yang mempunyai permintaan.

“Kilang terbabit dipercayai melakukan aktiviti haram itu antara tiga hingga empat bulan lepas. Rekod lampau juga menunjukkan kilang itu pernah disaman atas kesalahan lain sebelum ini,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan hari ini.

Dzulkhairi berkata polis menahan 25 pekerja asing berusia antara 20 hingga 45 tahun terdiri daripada warga China, Bangladesh dan Myanmar pada serbuan itu.

Selain jongkong aluminium, turut dirampas ialah bahan mentah daripada pelbagai barangan elektronik seperti alat kawalan jauh dan kamera litar tertutup (CCTV) yang belum diproses.

“Kita percaya sindiket ini mungkin mengambil kesempatan menjadikan negara ini sebagai pusat transit dan siasatan sedang dijalankan bagi kemungkinan wujud rangkaian syarikat lain terlibat dalam sindiket pemprosesan e-sisa haram,” katanya.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 55 (1)(b) Akta Imigresen 1959/63 serta di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda sehingga RM10 juta, jika sabit kesalahan.