KUALA LUMPUR: Sebanyak 36 individu termasuk pelajar universiti dan penjawat awam ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan persundalan seks bebas (swinger).

Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal tahun ini menawarkan servis langganan secara dalam talian melalui portal yang disyaki diurus masing-masing seorang lelaki warga tempatan dan Singapura.

Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Fadil Marsus berkata kedua-dua lelaki itu ditahan Selasa lepas di sebuah kondominium di Puchong, Selangor hasil risikan sejak Jun lepas oleh pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata penahanan mereka hasil siasatan terhadap 34 individu berusia 19 hingga 41 tahun yang ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Mont Kiara, di sini, Ahad lepas, terdiri daripada 14 lelaki dan 15 wanita tempatan, empat lelaki masing-masing warga Perancis, China, Republik Czech dan Nigeria serta seorang wanita Filipina.

“Ada dalam kalangan mereka merupakan penjawat awam dan pelajar institut pengajian tinggi. Kesemua mereka kini direman empat hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata pihak polis turut merampas pelbagai barang antaranya peralatan seks, komputer, wang tunai dan setakat ini hasil siasatan melalui akaun keldai yang diwujudkan adalah berjumlah 147,000 pelanggan.

“Kebanyakkan mereka adalah rakyat Malaysia. Ini yang cukup membimbangkan. Mereka yang ingin sertai, akan ditapis terlebih dahulu melalui sesi temuduga (panggilan video ).

“Setelah lulus, baru datang dan sindiket akan maklumkan kepada peserta mengenai lokasi sehari sebelum acara dilakukan,” katanya.

Fadil berkata setakat ini siasatan masih dijalankan di Kuala Lumpur dan cadangan pertuduhan akan dibuat di bawah Seksyen 372A Kanun Keseksaan(KK) kerana mempromosikan, menerbitkan dan menawarkan khidmat persundalan serta Seksyen 424 KK kerana memberi orang lain menggunakan akaun bank.

Beliau berkata siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 377D KK kerana melanggar kesopanan dan perbuatan kelucahan melampau, Seksyen 377A KK kerana melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii dan Seksyen 292 KK kerana memiliki bahan lucah dalam simpanan.

“Pertuduhan akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya menambah pihaknya akan meneruskan operasi sebegini bagi membanteras kegiatan tidak bermoral dan dipercayai terdapat beberapa lagi platform yang digunakan bagi kegiatan seperti ini yang masih aktif.

Fadil berkata perkara ini sangat membimbangkan kerana melibatkan warga tempatan dan asing yang akan memberi impak negatif terhadap masyarakat.