ISKANDAR PUTERI: Seramai 37 pengguna jalan raya dikenakan saman dalam Operasi Utama yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri. Operasi ini memberi tumpuan kepada kesalahan melanggar lampu isyarat merah, yang dikenal pasti sebagai salah satu pelanggaran undang-undang jalan raya paling kerap berlaku.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M. Kumarasan, berkata operasi itu melibatkan pemeriksaan 47 kenderaan dan 49 individu. “Sebanyak 37 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas kesalahan tidak mematuhi isyarat lampu merah di bawah Kaedah LN 167/59, yang boleh dikompaun maksimum RM300,“ jelasnya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan secara berkala sebagai langkah tegas terhadap pemandu yang enggan mematuhi peraturan. “Kesalahan seperti ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya yang lain,“ tambahnya.
Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan memandu secara berhemah demi keselamatan bersama- BERNAMA