• 2025-10-03 01:52 PM

BATU PAHAT: Kira-kira 56 rumah dilaporkan rosak akibat ribut dan angin kencang yang melanda beberapa daerah di Johor semalam.

Batu Pahat mencatatkan jumlah kerosakan tertinggi dengan kerosakan harta benda terutama bumbung rumah dan gerai makanan.

Setakat ini 28 laporan polis telah dibuat oleh keluarga mangsa yang terjejas melibatkan 15 kes di Batu Pahat, 12 di Tongkang Pechah dan satu di Parit Raja.

Tiada pusat pemindahan sementara dibuka untuk menampung mangsa kejadian ribut tersebut.

Seorang penduduk di Taman Santalia Tongkang Pechah Azlan Sam 60 berkata dia terdengar dua dentuman kuat kira-kira 4.30 petang sebelum ribut dan hujan lebat.

“Saya hanya mampu melihat dari dalam rumah ketika angin ribut menerbangkan gerai sarapan pagi milik saya malah kereta saya juga dihempap pokok tumbang,“ katanya.

Beberapa keping bumbung zink rumahnya turut diterbangkan dalam kejadian hampir 30 minit itu.

Seorang lagi mangsa Johari Sitam 63 berkata ini ribut paling kuat dalam 49 tahun menetap di kawasan itu.

“Beberapa keping bumbung zink diterbangkan ribut dan kami sekeluarga kini bergelap selepas kediaman terputus bekalan elektrik,“ katanya.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Johor Kamal Mokhtar berkata dua rumah di Kampung Pinggir Simpang Renggam turut mengalami kerosakan akibat ribut.

Ahli Dewan Undangan Negeri Parit Yaani Datuk Mohamad Najib Samuri berkata pihaknya akan memastikan bantuan sewajarnya disalurkan kepada mangsa.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Meteorologi Malaysia Ambun Dindang berkata keadaan ribut ketika ini fenomena biasa susulan Fasa Peralihan Monsun.

Fenomena itu dijangka berlarutan hingga November depan dengan hujan lebat serta angin kencang lazimnya berlaku pada petang dan malam.

Keadaan cuaca ekstrem ini terutama berlaku di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. – Bernama