KUALA LUMPUR: Dua individu yang ditahan kerana menghalang tugas anggota polis semasa perhimpunan aman pro-Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di sini semalam telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus menyatakan kedua-dua lelaki berusia 23 dan 32 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis pada malam tadi.
Beliau menjelaskan kertas siasatan akan dilengkapkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang polis menjalankan tugas.
Dalam kejadian pada 12 tengah hari semalam, polis menahan dua individu setelah berlaku kekecohan apabila polis cuba menyuraikan peserta perhimpunan yang menutup aliran trafik di Jalan Tun Razak berhadapan kedutaan berkenaan.
Kejadian itu mengakibatkan seorang anggota polis cedera di bahagian mulut kerana disiku oleh peserta perhimpunan semasa menjaga keselamatan di tempat kejadian.
Fadil turut memberi jaminan pihaknya akan membantu bagi memudah cara mana-mana perhimpunan yang dijadualkan berlaku susulan tindakan Israel memintas dan menahan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza awal pagi semalam.
Beliau berkata Polis Kuala Lumpur amat berbesar hati untuk menguruskan sebaik mungkin perhimpunan di ibu kota bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai terjaga terutamanya di lokasi tumpuan umum.
Fadil menegaskan Polis Kuala Lumpur menghargai kebebasan untuk berhimpun bagaimanapun peserta dinasihatkan mematuhi undang-undang dan arahan polis bagi menjaga ketenteraman dan kesejahteraan awam agar perhimpunan berjalan dengan baik dan tidak dipandang negatif. – Bernama